Berita > Berita

Kien Keat-Boon Heong tidak layak sertai
Siri Super Terbuka Malaysia

Selasa, 19 Desember 2006 13:24:25
1537 klik
Oleh : admin
Kirim ke teman   Versi Cetak

MEREKA adalah beregu emas yang mengharumkan nama negara pada temasya Sukan Asia XV dengan menamatkan kemarau 36 tahun kalungan pingat itu di Doha baru-baru ini.

Namun mereka tidak dapat beraksi bersama dalam masa terdekat terutamanya dalam kejohanan pembuka tirai Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur, pertengahan bulan depan.

Itulah nasib yang menimpa pasangan Koo Kien Keat, 21, dan Tan Boon Heong, 19, lantaran mereka baru digandingkan oleh jurulatih, Rexy Mainaky tidak sampai tiga bulan, dan kini sekadar menghuni tangga ke-116 dalam ranking dunia.

Peraturan pertandingan Siri Super BWF yang diperkenalkan mulai tahun depan mengehadkan hanya kepada 28 pasangan terbaik layak secara automatik ke undian utama manakala empat lagi beregu terpaksa menempuhi pusingan kelayakan bagi mencukupkan 32 pasangan pada pusingan pertama.

Oleh itu, tidak ada tempat buat Kien Keat-Boon Heong kecuali mereka terpaksa kembali kepada pasangan asal mereka. Kien Keat bersama Chan Chong Ming (ranking kesembilan) dan Boon Heong bersama Hoon Thien How (ranking ke-10).

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) P Ganga Rao berkata tidak ada apa yang boleh mereka lakukan dalam usaha memasukkan Kien Keat-Boon Heong dalam undian yang akan dijalankan pada 2 Januari depan.

''Mereka boleh bertanding pada kejohanan lebih kecil daripada Siri Super atau kejohanan satelit, mengumpul sebanyak mungkin mata ranking dunia sebelum boleh menyertai kejohanan Siri Super sebagai satu gandingan.''

''Namun kami yakin sekurang-kurangnya Mei tahun depan, pasangan ini boleh melonjakkan diri dalam ranking dunia dan seterusnya menikmati apa yang dirasai beregu lain dalam kelompok teratas dunia,'' katanya semalam.

Berdasarkan ranking terbaru dunia (14 Disember), sekurang-kurangnya lima beregu lelaki negara layak beraksi secara automatik pada Terbuka Malaysia termasuk Kien Keat-Chong Ming dan Boon Heong-Thien How.

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, yang digugurkan daripada skuad terakhir ke Sukan Asia, kini menduduki tangga keempat dunia, Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui (tujuh) dan Gan Teik Chai-Zakry Latif (11).

Dua lagi pasangan, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock (31) dan Chew Choon Eng-Hong Chieng Hun (32) boleh mengintai peluang bermain pada pusingan pertama tetapi perlu melepasi pusingan kelayakan terlebih dulu.

Adalah menjadi satu kerugian jika mereka tidak beraksi pada kejohanan Siri Super yang menawarkan hadiah lebih lumayan serta mata ranking dunia yang lebih banyak.

Terbuka Malaysia menawarkan hadiah keseluruhan AS$200,000 (RM734,000) dan juara beregu bakal berkongsi AS$14,400 (RM52,850) malah pasangan yang kalah pada pusingan pertama pun layak menerima hadiah minimum AS$600 (RM2,200).(Hamdan Saaid/bharian.com.my)

Berita Berita Lainnya