Berita > Berita

Berita Bulutangkis Malaysia
Rexy dapat sokongan BAM

Jumat, 29 Desember 2006 21:04:59
2336 klik
Oleh : admin
Kirim ke teman   Versi Cetak

Oleh Ahmad Khawari Isa

BELUMPUN bersemuka, gelisah Rexy Mainaky (gambar) mampu kini reda. Kerana di mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tempatnya selaku antara perancang cabaran skuad negara, tidak pernah dipertikaikan.

Jaminan itu tersimpul daripada reaksi Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh, yang menganggap betapa tiada keraguan wajar menghuni pemikiran jurulatih beregu negara itu.

''Saya belum berkesempatan untuk bertemu dengannya. Tetapi saya yakin Rexy tahu bagaimana saya dan Ganga (Rao, Setiausaha Kehormat BAM), bekerja. Kami hanya mahu pastikan pemain mampu mencapai kejayaan dalam kejohanan yang disertai.''

''Saya juga percaya Rexy tahu di mana kedudukannya. Dia bukannya seseorang yang tidak menghasilkan sesuatu. Sebagai profesional, ukuran untuknya ialah terhadap keputusan yang dihasilkan,'' kata Nadzmi.

Nadzmi juga tidak menolak hakikat betapa komitmen dan kesetiaan Rexy terhadap tanggungjawab di bahu, tidak pernah menjadi persoalan.

''Saya tahu bagi jurulatih sepertinya, ramai pihak beratur untuk memikatnya jika dia memilih meninggalkan BAM. Dia harus yakin dengan apa yang dilakukannya selain tahu apa kedudukan kami mengenainya,'' kata Nadzmi.

Kenyataan itu jelas satu bentuk sokongan terhadap Rexy yang pernah mencipta kejutan ekoran hasrat meletak jawatan selepas dua beregu negara - Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong - gagal menyumbang mata ketika kecundang pada separuh akhir acara berpasukan Sukan Asia di Doha lalu.

Rexy kemudiannya memilih membatalkan hasrat berkenaan, tetapi memohon peluang duduk bersemuka dengan pucuk pimpinan BAM buat mencari kata sepakat selain menuntut janji dan komitmen daripada pemain bimbingannya.

Bekas jaguh beregu dari Indonesia yang dihubungi di Jakarta kerana masih menghabiskan cutinya bersama keluarga, turut mengakui betapa dia tidak pernah berhasrat mencipta situasi kurang senang dengan BAM.

''Saya mahukan bantuan untuk membolehkan saya melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin. Semua ini bukan kerana saya ada menimbang tawaran lain. Tidak ada. Saya seorang profesional yang mahu memberi usaha sebaiknya,'' kata Rexy.

Kenyataan Nadzmi itu juga dilihat sebagai sokongan ketika Rexy pernah turut dikaitkan menjadi sasaran pihak tertentu yang cuba mencipta jurang pergeseran dengan pemain selepas tindakannya menegur secara terbuka komitmen mereka ketika di Doha.(bharian.com)

Berita Berita Lainnya