Berita > Berita

Bulutangkis Malaysia
Chong Wei pilih kembali berguru dengan Misbun

Sabtu, 31 Maret 2007 14:57:02
2483 klik
Oleh : admin
Kirim ke teman   Versi Cetak

IBARAT sirih pulang ke gagang, pemain perseorangan utama badminton negara, Lee Chong Wei, memilih untuk kembali berguru dengan jurulatih awalnya, Misbun Sidek.

Chong Wei hadir mengikuti sesi latihan pertamanya bersama Misbun, pagi semalam, dan perubahan ‘perguruan’ itu turut disahkan ketua jurulatih skuad negara, Yap Kim Hock.

''Chong Wei bersama-sama Kuan Beng Hong, ada meminta untuk berlatih di bawah tunjuk ajar Misbun. Kami sebagai jurulatih menyokong permintaannya kerana dia sendiri berasakan lebih sesuai dengan cara latihan Misbun.''

''Ia bukan satu masalah kerana sebelum dilatih (bekas jurulatih), Li Mao, Chong Wei memang dilatih Misbun. Chong Wei juga percaya dia akan mampu meningkat apabila kembali bersama Misbun,'' kata Kim Hock.

Kim Hock turut menafikan perubahan itu berpunca daripada masalah di antara Chong Wei dengan pengganti Li Mao, Wong Tat Meng.

''Tiada langsung masalah yang timbul. Chong Wei buat permintaan selepas Terbuka Switzerland dan kami bersetuju. Tat Meng juga bersetuju,'' katanya.

Misbun, ditemui kemudiannya, turut menegaskan betapa dia mempunyai hubungan baik dengan Tat Meng dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang mampu menjejaskan persefahaman di antara jurulatih.

''Saya tidak mahu ada perkara berbangkit daripada segi persefahaman (di antara jurulatih). Memang ura-uranya begitu (melatih Chong Wei). Saya juga sudah diberitahu. Bagi saya, (yang penting) ialah hitam putihnya.''

''Apabila saya sudah mendapat hitam putih (Chong Wei kembali dengannya), saya akan beri jawapan daripada segi kejurulatihan.''

''Ketika ini, saya ditugaskan untuk melatih empat pemain remaja selain Hafiz (Hashim). Chong Wei datang latihan hari ini dan saya membuat penilaian mengenai prestasinya. Saya juga diberitahu Beng Hong akan hadir minggu depan.''

Ditanya peranan mampu dimainkannya untuk membantu Chong Wei yang diganggu kemerosotan prestasi - termasuk tersingkir pada pusingan awal Terbuka Switzerland, dua minggu lalu - Misbun berkata ‘mungkin daripada naluri permainannya.’

''Saya akan lihat apa sebenarnya jadi igauan kepada dia selama ini. Mungkin daripada segi instinct (naluri). Bagi saya, mungkin apa yang perlu dilakukan ialah untuk menggilapnya semula.''

''Itu sesuatu yang mudah sebab Chong Wei (ibarat) pernah berkilat, ketika ini hanya pudar sahaja. Dia juga pernah saya latih. Jika sudah dapat hitam putih, saya akan buka kembali fail lamanya.''

''Dalam keadaan ketika ini, mungkin dia perlukan suntikan daripada elemen lama yang pernah menyaksikannya naik daripada tangga ke-157 dunia ke kelompok lapan pemain utama dalam tempoh singkat,'' kata Misbun.(bharian.com.my)

Berita Berita Lainnya